ASAL NAMA BATANG BERJUNTAI

 

Kampung ini asalnya dikenali dengan nama Kampung Jaya Setia atau Batang Trill dan dibuka pada tahun 1945. Nama Batang Berjuntai diberi sempena peristiwa pohon Merbau yang tumbang ke dalam air. Kejadian ini berlaku di satu sudut di kawasan perkuburan tempatan yang terletak di tepi Sungai Selangor, diceritakan pohon yang tumbang ini akan sentiasa timbul, iaitu apabila air naik, ia akan turut naik dan begitu juga jika air surut. Lebih mengagumkan lagi ialah ketahanan dahan pokok tersebut yang tidak patah meskipun pokoknya telah tumbang. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1959 ini diabadikan oleh penduduk tempatan yang menamakan kawasan tersebut sebagai "Batang Berjuntai".

 

Sumber:

Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. 2006. Koleksi Cerita Rakyat Daerah Kuala Selangor. UPEN: Shah Alam. (PL5168.1.K654 8 - Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu [PATMA] )

 

 

LOMBONG BESTARI JAYA


     Bestari Jaya @ Batang Berjuntai telah wujud sekitar tahun 1920-an. Kawasan kampung ini dahulunya diliputi oleh tanaman pokok getah. Bestari Jaya merupakan kawasan perlombongan yang telah diteroka pada zaman penjajahan British. Kegiatan perlombongan bijih timah bermula pada tahun 1940-an, di kawasan lombong yang dikenali sebagai Berjuntai Tin dan Pasifik Tin. Dari situ wujudnya nama Kampung Berjuntai Tin.


    Kemudian, nama Kampung Berjuntai Tin telah ditukar kepada Kampung Berjuntai Jaya pada sekitar tahun 1998. Namun, nama kampung ini tidak dipersetujui oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Seterusnya, nama Kampung Berjuntai Jaya ditukar kepada Kampung Bestari Jaya pada tahun 2006.


     Kini, kawasan tinggalan perlombongan bijih timah ini dijadikan tapak Universiti Industri Selangor (UNISEL). Banyak perubahan dari segi pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Kerajaan negeri berharap agar penduduk Bestari Jaya dapat membangun bersama-sama, selaras dengan cita-cita kerajaan negeri menjadikan Bestari Jaya sebagai Bandar Ilmu pada tahun 2011 nanti.